LAPORAN portal berita Harian Metro, mengenai kehilangan Ustazah Nur Farhana.
Noorazura Abdul Rahman


USTAZAH Nur Farhana Ibrahim akan ditempatkan di sekolah berhampiran rumahnya selepas proses pertukaran dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang selesai.

Pengarah JPN Kedah, Abd Aziz Selaiman berkata, pihaknya difahamkan guru agama terbabit akan melalui proses pertukaran biasa yang sedang diuruskan JPN Pulau Pinang.

“Saya difahamkan Pengarah JPN Pulau Pinang baharu sahaja pulang dari Putrajaya bagi membincangkan isu beliau termasuk berhubung dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian bagi menentukan penyesuaian perkhidmatannya.

“Kita hanya menunggu arahan jika semua proses di JPN Pulau Pinang selesai.

“Buat masa sekarang kita belum dihubungi JPN Pulau Pinang, namun kita tidak ada halangan untuk tempatkan beliau di sekolah berhampiran rumahnya nanti,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pengetua dan Guru Besar di Dewan Sri Mentaloon di Alor Setar, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr Salmee Said.


SALMEE (dua kanan) bersama Abd Aziz (kanan) beramah mesra bersama pengetua yang hadir pada Perjumpaan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah Bersama-Sama Pengetua dan Guru Besar Sekolah Negeri Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Nur Farhana, 27, yang disedari suaminya selepas ustazah itu tidak pulang ke rumah mereka di Alor Senibong, Langgar, pada petang Isnin minggu lalu seperti kebiasaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan dipetik berkata, suami mangsa memaklumkan isterinya pernah menerima rawatan kemurungan pada 2014.

Beliau dilaporkan berkata, ustazah itu dipercayai mengalami kemurungan berikutan terpaksa berulang alik setiap hari dari Langgar, Alor Setar ke Balik Pulau, Pulau Pinang untuk mengajar di sekolah berkenaan.

Jarak sehala Langgar ke Balik Pulau ialah kira-kira 100 kilometer dan difahamkan ustazah itu sudah banyak kali memohon untuk berpindah ke Kedah supaya lebih dekat dengan keluarganya.

Nur Farhana ditemui selamat di Kuala Kangsar, Perak, Khamis lalu.

Sementara itu, Abd Aziz berkata, setiap tahun pihaknya memproses ribuan permohonan pertukaran guru dari luar Kedah untuk mengajar di negeri itu.

Katanya, tidak timbul isu guru sukar untuk bertukar ke Kedah berikutan pihaknya mengambil kira kepentingan pelajar dan keperluan bagi memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran.

“Proses pertukaran guru ini sentiasa berterusan dari semasa ke semasa, sehingga sekarang kita masih menandatangani permohonan berkaitan selain ada guru yang sudah diluluskan berpindah ke sini tapi dia batalkan.

“Begitu juga dengan guru bersara, di Kedah kita ada 36,000 guru dan proses ini sangat dinamik.

“Kita sentiasa beri perhatian bagi setiap permohonan seperti saranan Kementerian Pendidikan agar mewujudkan ekosistem pengurusan yang gembira.

“Ini bermakna kita hendak guru kita gembira dan tidak mahu mereka tertekan,” katanya.

Berita berkaitan

JPN Kedah sedia bantu Ustazah Farhana

Beri ruang kepada Nur Farhana

Ustazah tidur di surau

Ustazah Nur Farhana ditemui di luar Pulau Pinang

Alhamdulillah, Ustazah Nur Farhana ditemui selamat

Guna K9 cari Ustazah Nur Farhana

Di mana Ustazah Nur Farhana?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 4:04 PM