Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan membuka lorong kecemasan di Kilometer 367 Slim River ke Sungkai (Arah Utara) bermula 1 Februari hingga 4 Februari ini sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pengguna boleh menggunakan lorong kecemasan di Kilometer 287 Simpang Pulai ke Gopeng (Arah Selatan) pada 9 dan 10 Februari.

Beliau berkata, lorong kecemasan masing-masing sejauh tujuh kilometer itu boleh digunakan pengguna jalan raya sepanjang tempoh dibenarkan.

“Pihak PLUS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka lorong kecemasan berkenaan berikutan keadaan trafik tinggi di musim perayaan.

“Ini adalah projek perintis PLUS dan akan diperluaskan di lebuh raya lain jika ia menunjukkan keberkesanan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Media di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Azman berkata, pihaknya akan meletakkan papan tanda menunjukkan lorong kecemasan dibuka di kawasan terbabit selain menempatkan anggota polis dan PLUS.

Beliau berkata, polis akan membuat pemantauan di lorong kecemasan itu bagi memastikan kelancaran aliran trafik.

“Langkah tambahan itu diambil bagi memastikan pengguna jalan raya menikmati perjalanan lebih lancar dan selesa sempena musim perayaan.

“Kami menjangkakan 1.9 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya PLUS pada setiap hari sempena musim perayaan ini.

“Orang ramai boleh mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan mereka menerusi aplikasi PLUS,” katanya.

Beliau berkata, pihak PLUS menyediakan 5,000 petugas lebuh raya untuk membantu pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 4:56 PM
AZMAN ketika sidang media mengenai persiapan PLUS menghadapi pertambahan trafik menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Saddam Yusoff.