Noorazura Abdul Rahman


JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan negeri memusnahkan ladang ketum berikutan hampir 200 pelajar sekolah di negeri ini dikesan terbabit dalam penyalahgunaan bahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr Salmee Said berkata, jumlah pelajar itu termasuklah murid sekolah rendah dan statistik tahun lalu juga sangat membimbangkan.

Katanya, bukan setakat ladang ketum yang perlu dimusnahkan, malah pokok ketum yang ditanam berhampiran rumah penduduk juga wajar dihapuskan.

“Pihak saya menyokong penuh hasrat kerajaan memusnahkan ladang ketum di negeri ini, pokok ini banyak ditanam di Padang Terap, Ayer Hitam termasuklah kawasan saya sendiri iaitu Kota Siputeh.

“Pelajar luar bandar sangat terdedah dengan penyalahgunaan air ketum, mereka terpengaruh kerana orang tua mereka juga minum air ketum, ada yang bawa minum ini ke sekolah dan dicampur dengan pelbagai bahan yang memberi kesan hampir sama dengan beberapa jenis dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pengetua dan Guru Besar di Dewan Sri Mentaloon di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPN Kedah, Abd Aziz Selaiman.

Kelmarin, NSTP melaporkan kerajaan negeri sedia menggunakan undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara bagi menghapuskan lebih 100 hektar ladang ketum yang dikesan di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keputusan terbabit adalah satu langkah drastik bagi menangani masalah berkaitan penyalahgunaan ketum yang dilihat lebih banyak memberi kemudaratan kepada masyarakat.

Sementara itu, Dr Salmee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, lebih 400 pelajar di Kedah terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan daun ketum.

Justeru pihaknya mengarahkan agar setiap sekolah menjalinkan kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mendedahkan pelajar mengenai bahayanya bahan terlarang itu.

“Kita juga bimbang dengan ketagihan terhadap pornografi yang sebenarnya sukar dikenal pasti pada diri seseorang pelajar, kita sangat mengharapkan pengetua dan guru besar dapat memantau aktiviti pelajar mereka.

“Ini kerana kerajaan tidak hanya fokus kepada akademik semata-mata tetapi juga kepada kemenjadian murid dan sahsiah diri pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:06 PM