Rahimin (kiri) bersama Fadhilah menunjukkan batu nisan yang dipercayai peninggalan zaman Kesultanan Melayu. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my


EMPAT batu nisan lama dipercayai peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemui penduduk di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong, Melaka.

Batu nisan yang dihasilkan menggunakan batu laterit dianggarkan berusia lebih 500 tahun itu ditemui bersama enam lagi batu nisan lain oleh kontraktor ketika kerja pembersihan tanah penduduk di kampung berkenaan, 6 Januari lalu.

Difahamkan, kerja pembersihan dilakukan berikutan satu keluarga di situ mahu mengadakan kenduri kahwin anak mereka tidak lama lagi.

Penduduk, Roslan Ramlan, 52, berkata, kerja pembersihan di kawasan tanah yang bersemak itu dilakukan sejak 6 Januari lalu menggunakan jentolak.

Katanya, dia kemudian dimaklumkan pemandu jentolak terbabit mengenai penemuan beberapa batu nisan, sebelum menyarankan penemuan itu dilonggokkan di satu tempat.

“Penemuan batu nisan itu akhirnya sampai ke pengetahuan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang mengambil tindakan lanjut.

“Sepanjang tempoh 10 tahun menetap di sini, setahu saya kawasan ini bukan tanah perkuburan dan tidak pernah menemui apa-apa bentuk struktur kubur di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan batu nisan itu, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar PERZIM, Fadhilah Md Salleh berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati, empat daripada 10 batu nisan jenis laterit berkenaan wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengenal pasti nilai sejarah penemuan itu, selain menilai hubung kait dengan penemuan batu nisan jenis sama di Johor tahun lalu.

“Sekarang tiada lagi orang menggunakan batu laterit sebagai tanda kubur, jadi yang kita jumpa ini (batu nisan) memang batu sama dengan yang kita sedang kaji di Johor.

“Kita akan mendapatkan usianya terlebih dulu menerusi kepakaran agensi lain dan pasti kajian ilmiah akan dijalankan,” katanya.

Berdasarkan bentuk batu nisan ditemui, dua daripadanya menggambarkan pemiliknya adalah lelaki, manakala lapan lagi wanita.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti asal batu nisan berkenaan kerana dipercayai bukan dari kawasan penemuan.

“Bagi memastikan Islam terpelihara, kita boleh siasat bagi menjaga kesucian agama ini pada pandangan masyarakat.

“Bagaimanapun, mengikut rekod kita kawasan ini bukan (kawasan) perkuburan,” katanya untuk mengelakkan unsur salah guna, semua batu nisan itu akan ditanam semula di kawasan tanah perkuburan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:27 PM