Pejabat 1MDB. FOTO arkib NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


KERTAS siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka selesai pada Mac depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu dibuat secara berterusan dan dalam proses untuk dilengkapkan sebelum diserah kepada pejabat peguam negara.

Katanya, sebelum ini juga beberapa kertas siasatan yang lengkap sudah diserahkan kepada pihak pendakwa raya (DPP) untuk tindakan lanjut berdasarkan arahan diterima.

“Siasatan terhadap 1MDB dijalankan secara berterusan dan memang kita jangka siasatan dijalankan oleh JSJK Bukit Aman itu akan siap pada Mac depan.

“Malah, sebelum ini juga polis sudah menyerahkan beberapa kertas siasatan yang lengkap kepada DPP,” katanya dalam sidang media ketika menghadiri program Ronda Cegah Jenayah membabitkan pelatih PULAPOL Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk Seri Rosli Ab Rahman, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Ditanya mengenai serbuan dijalankan oleh JSJK Bukit Aman di firma guaman Rahmat Lim & Partners pagi tadi bagi mencari dokumen berkaitan 1MDB, Fuzi berkata, perkara itu bukannya sesuatu yang ganjil asalkan ia mengikut lunas undang-undang.

“Sebagaimana saya sebutkan, siasatan terhadap 1MDB ini sentiasa berterusan dan sekiranya ada serbuan dibuat, ia bagi membantu siasatan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan serbuan sebuah firma guaman itu pada jam 10 pagi hari ini.

Difahamkan, serbuan itu bagi mencari dokumen berkaitan tiga bon 1MDB yang dikendalikan oleh Goldman Sachs selepas mereka memperoleh perintah mahkamah untuk berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:32 PM