LAPORAN Harian Metro Selasa lalu mengenai kubur Allahyarham Haji Ishak di kawasan tokong di Jelebu. Gambar kanan, Dr Mohd Rosli.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Abnor Hamizam Abd Manap
cnews@nstp.com.my


KAJIAN sejarah mendapati Allahyarham Haji Ishak Abdullah adalah pencetus kebangkitan Islam di Jelebu dan banyak memberi nasihat berkaitan agama Islam di Balai Undang Luak Jelebu sekitar abad ke-18.

Pakar sejarah, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, berkata kajian dilakukannya mendapati Allahyarham Haji Ishak berasal dari Minangkabau, Indonesia sebelum berhijrah ke Luak Ulu Muar, Kuala Pilah, dekat sini.

Pensyarah kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, Allahyarham Haji Ishak berketurunan khatib akhir di luak itu dan saudara kepada Penghulu Naam di Ulu Muar.

“Ketika hayatnya, Allahyarham Haji Ishak seorang yang tegas, berpegang teguh syariat Islam dan adat bersendi syarak.

“Ketika berada di Ulu Muar, berlaku pergolakan besar dan beliau memperbetulkan keadaan hingga menjadi rujukan penting masyarakat berkaitan ajaran Islam,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut penerima Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup 2018 itu, Allahyarham Haji Ishak dikhianati lalu berpindah ke Jelebu melalui Ulu Jelebu dan berkahwin dengan penduduk setempat.

“Allahyarham Haji Ishak sekali lagi menjadi rujukan masyarakat dan memberikan banyak nasihat agama di Balai Undang Luak Jelebu.

“Pada masa sama beliau menyatukan waris asal Jelebu dan terbabit dalam pelantikan Undang.

“Beliau antara menyaksikan perjanjian awal supaya jawatan Undang digilirkan dengan Perut Ulu Jelebu, Sarin dan Kemim di bukit di tempatnya disemadikan sekarang. Mengenang jasa Allahyarham, beliau dimakamkan di bukit itu selepas meninggal dunia,” katanya.

Dr Mohd Rosli berkata, adalah sesuatu yang menyedihkan sekiranya kubur tokoh agamawan itu dalam keadaan menyedihkan di dalam kawasan tokong, malah beliau pernah ke kawasan itu.

“Allahyarham seorang pendakwah Islam dan banyak jasanya di Negeri Sembilan.

“Kerajaan negeri perlu mewartakan lokasi baru, memindahkan kubur dan membina kompleks sejarah Jelebu sebagai ingatan,” katanya.

Berita berkaitan

'400 tahun'

'Pusara dalam tokong'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:42 PM