ZULKIFLI (tengah) menyampaikan sumbangan sempena program Tautan Kasih TNB bersama penghuni Rumah Ehsan di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.


LEMBAGA Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bercadang membina satu lebuh raya baru yang menghubungkan wilayah itu dengan Pantai Barat, sekali gus mampu melonjakkan pembangunan di wilayah itu.

Pengerusinya, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang digunakan sekarang ini membawa kesan negatif kepada pembangunan di wilayah KETENGAH.

“Kami sedang mengkaji dan meneliti untuk membina lebuh raya baharu yang akan dinamakan laluan Mat Kilau serta dapat menghubungkan wilayah KETENGAH dengan Pantai Barat.

“Jika berjaya direalisasikan, kami yakin ia mampu mengembalikan tumpuan pengunjung ke wilayah ini, sekali gus membawa perubahan besar kepada KETENGAH, ” katanya pada program Tautan Kasih bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Rumah Ehsan, Bandar Al-Muktaffi Billah Shah, Dungun, hari ini.

TNB diwakli Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Terengganu, Bahagian Pembahagian TNB, Mohd Nazri Puteh yang turut menyampaikan sumbangan bernilai RM5,000 kepada rumah terbabit.

Zulkifli berkata, pihaknya mendapati kedai di wilayah itu terpaksa ditutup, malah usahawan terjejas kerana kurangnya pengguna melalui Jalan Jerangau-Jabur berikutan orang ramai lebih selesa menggunakan LPT2.

“Oleh itu, jika laluan baharu ini dibina, kami yakin tumpuan ramai akan kembali tertumpu di sini, sekali gus mengembalikan kemajuan wilayah KETENGAH khususnya peniaga.

“Pembinaan laluan itu akan membantu menaikkan ekonomi anak syarikat KETENGAH yang kini berdepan masalah disebabkan kurangnya projek dan terkesan akibat kejatuhan harga minyak sawit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya anak syarikat KETENGAH akan memperoleh peningkatan pendapatan apabila lebuh raya baharu itu siap kelak.

“Pada masa ini, pendapatan diperoleh daripada kilang kuari miliki KETENGAH gagal beroperasi dengan baik kerana tiada projek baharu dan dengan adanya projek lebuh raya baru itu nanti, kuari ini menjadi pilihan kontraktor yang dilantik membina lebuh raya itu nanti.

“Kami sangat berharap projek ini akan mendapat sokongan daripada kerajaan negeri demi pembangunan dan kepentingan penduduk di wilayah ini,” katanya.

Sementara itu Zulkifli berkata, sebanyak RM38 juta diperuntukkan untuk pembangunan di wilayah KETENGAH tahun ini dengan sebahagian peruntukan akan digunakan untuk membaiki jalan keluar dari LPT2 yang menghubungkan jalan bandar di wilayah KETENGAH.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:49 PM