SULTAN Abdullah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Merafak sembah setinggi tahniah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sempena diperkenan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku,” katanya menerusi catatan di Twitter beliau.

Sultan Abdullah, hari ini, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019. Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini menyebut mesyuarat turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Menteri Pertahanan Mohammad Sabu menerusi Twitternya berkata : “Patik merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Abdullah atas pelantikan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku.”

Berita berkaitan

Baginda akan disayangi seluruh negara

Sultan Pahang Agong ke-16, Sultan Perak Timbalan Agong

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:57 PM