Helmy Abd Rahman


USIANYA sudah mencecah 74 tahun, namun bakat, kemampuan dan kemahiran yang ditunjukkan ketika 'menghayun' berus bagi mewarna batik setanding dengan orang muda.

Uniknya, Hitam Taib hanya mula belajar mewarna batik ketika usia sudah lanjut untuk mengisi masa lapang.

Pembabitannya dalam seni mewarna batik bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila dia menyatakan minat untuk mendalami ilmu mewarna kepada anaknya, Noor Hayati Said, 46.

Menurut Noor Hayati, ibunya itu cepat belajar dan kini mampu mewarna batik pada kualiti bermutu tinggi.

"Mulanya mak kata dia puas duduk saja (bosan tidak melakukan apa-apa). Dia selalu datang ke bengkel pembuatan batik milik saya dan suami dan lepas itu nyatakan minat untuk belajar mewarna.

"Apa yang menakjubkan, dia masih boleh mewarna dengan sangat baik, mata dia cerah lagi macam orang muda," katanya kepada NSTP ketika ditemui di Kampung Kubang Machang, Kepong, Kuala Terengganu, hari ini.

Noor Hayati berkata, ibunya juga ibarat selebriti apabila ramai pelanggan dan pengunjung yang ingin merakamkan gambar dengannya setiap kali mereka datang ke kedainya itu.

"Memang orang (pengunjung) suka sangat ambil gambar dengan dia dan kami di sini selalu bergurau memanggil mak artis," katanya yang memulakan perniagaan itu bersama suami, Mohd Salleh Abu Bakar, 47, sejak 27 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 7:03 PM
HITAM Taib (tengah) menunjukkan kemahiran menwarna batik tradisional di Kampung Kubang Machang. FOTO Ghazali Kori
HITAM Taib (tengah) menunjukkan kemahiran menwarna batik tradisional di Kampung Kubang Machang. FOTO Ghazali Kori
HITAM Taib (tengah) menunjukkan kemahiran menwarna batik tradisional di Kampung Kubang Machang. FOTO Ghazali Kori