Siti A’isyah Sukaimi dan Hashini Kavishtri Kannan
cnews@nstp.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes terhadap Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau yakin SPRM menjalankan tanggungjawabnya dan mematuhi undang-undang berhubung siasatan berkenaan.

“Justeru, tidak ada sebarang halangan daripada saya terhadap bidang tugas SPRM dan kita juga memastikan SSM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada suruhanjaya berkenaan.

“Saya juga berharap SPRM akan menjalankan tugas ini serta peraturan dan bidang kuasa dapat diikuti dan dihormati,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.


SAIFUDDIN Nasution (kanan) ketika sidang media di KPDNHEP. Turut kelihatan, timbalannya Chong Chieng Jen. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Pada 22 Januari lalu, anak kepada pegawai pengurusan tertinggi SSM hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi menyerahkan dokumen berkaitan siasatan ke atas SSM.

Media melaporkan, difahamkan, lelaki berusia 20-an itu dipercayai terbabit dalam dakwaan skandal projek membabitkan SSM dianggarkan bernilai RM500 juta.

Sumber dipetik berkata, lelaki itu diminta hadir untuk menyerahkan dokumen berkaitan siasatan selepas mengesyaki ada bukti yang cuba disembunyikan hasil siasatan berkenaan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pada masa ini, SPRM sudah memulakan siasatan dan adalah lebih baik, membiarkan suruhanjaya berkenaan menjalankan tugasnya.

“Buat masa sekarang, kita dahulukan SPRM dan biarkan mereka jalankan tanggungjawab itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 7:07 PM