AMINUDDIN ketika menziarahi keluarga Allahyarham Adnan Othman. FOTO HAZREEN NOHAMAD
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


“SETIAP kali kakak nampak makanan kegemaran arwah ayahnya, dia pasti akan minta dibelikan,” kata Shahmiza Salleh, 33, isteri Allahyarham Adnan Othman, Shahmiza Salleh.

Adnan antara enam anggota bomba yang lemas ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor pada Oktober tahun lalu.

Shahmiza berkata, selain itu, jika anak sulungnya yang dipanggil kakak, Aisyah Damia, 5, ternampak kedai yang sering dikunjungi arwah, dia akan meminta untuk ke situ.

“Tetapi kakak tahu ayahnya sudah tiada kerana apabila ditanya, dia akan beritahu ayah sudah meninggal dunia.

“Adiknya pula Alia Maisara yang berusia tiga tahun walaupun tidak mengerti, tetapi dia sering menunjukkan gambar arwah yang berada di rumah sambil menyebut ayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Wira Merah di Taman Jaya, Lukut di Port Dickson, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis.

Shahmiza dan bapa mentuanya, Othman Surathi, 70, masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM5,000 daripada kerajaan negeri.

Terdahulu turut diadakan majlis tahlil dan doa selamat di kediaman bapa arwah.

Pengajar Latihan di Institut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sungai Buloh itu berkata, dia bersyukur walaupun tragedi menimpa suaminya itu sudah lebih tiga bulan berlalu, tetapi masih ada pihak yang sudi mengunjungi dan menghulurkan sumbangan kepada mereka.

“Tipu kalau tidak sedih dan terasa lain dengan kehilangan arwah, tetapi saya reda dan yakin anak-anak juga terima kerana mereka tidak lagi bertanya mengenai arwah kecuali mengingati apa yang disukai arwah,” katanya.

Othman ketika ditemui turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak bomba atas sumbangan yang diberikan, walaupun sehingga kini masih sedih dengan pemergian anaknya itu.

Sementara itu Aminuddin berkata, sepatutnya sumbangan itu diberikan pada Oktober lalu, namun ketika itu kerajaan negeri sibuk dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

“Walaupun penyampaian sumbangan ini lambat, tetapi saya berharap ia dapat membantu meringankan beban keluarga atas kehilangan ahli keluarga ketika menjalankan tugas menyelamat ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 7:16 PM