MUJAHID (dua dari kanan) memerhatikan Tuanku Syed Faizuddin (kiri) menurunkan tandatangan pada perasmian Seminar Fiqh Taghyir Al-Munkar anjuran JAKIM. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Idris Musa
idris@hmetro.com.my


SESETENGAH pihak didapati menyalahgunakan istilah ‘amar makruf nahi munkar’, malah menjadikannya sebagai topeng bagi mencapai maksud politik sempit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, melalui platform media sosial hari ini, mereka turut mengambil peluang untuk menggunakan nama ‘amar makruf nahi munkar’.

Beliau menegaskan, mereka hanya mencemarkan nama baik Islam yang seharusnya merentasi segala kepentingan politik apatah lagi kepartian.

Menurutnya, keadaan itu diburukkan lagi dengan peningkatan fahaman agak ekstrem terhadap amalan agama, menghukum sewenangnya serta menunjukkan diri mereka lebih mengetahui sehingga seolah-olah mengambil tugas Tuhan menyatakan individu tertentu masuk syurga, neraka, munafik atau harbi.

“Kalau memahami realiti yang ada di depan kita, semua kaedah itu sebenarnya tidak membawa kebaikan, bahkan memburukkan lagi imej Islam,” katanya pada Seminar Fiqh Taghyir al-Munkar (Mengubah Kemungkaran) di Kuala Lumpur, hari ini.

Perasmian seminar itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mengulas apa yang berlaku dalam media sosial, Mujahid berkata, jika platform itu digunakan dengan baik, maka ia bermanfaat untuk menyebarluaskan konsep ‘amar makruf nahi munkar’.

Namun katanya, jika disalah guna walaupun atas nama ‘amar makruf nahi mungkar’, ia pastinya akan memberi gambaran buruk dan kemudaratan.

“Kita tengok di Facebook, media sosial, mereka menggunakan nama dakwah konon kerana Islam, tapi membawa fahaman yang boleh dianggap ekstrem dan radikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 7:21 PM