ROSNIDA bersama pekerjanya menyusun tepung roti canai ketika temui di Restorannya D'Wafi. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my


“BAGINDA mula datang bersarapan ke restoran saya pada 23 November 2017, ketika itu baginda baru selesai menunaikan solat Subuh secara berjemaah dan berkenan untuk mencuba nasi lemak dan roti canai di restoran kami.

“Masa itu kami tidak tahu baginda hendak datang dan tidak buat apa-apa persiapan, lama-kelamaan baharu kami tahu baginda sebenarnya tidak terlalu mengikut protokol.” kata pemilik restoran D’Wafi, Rosnida Che Soh.

Itu kata Rosnida, 44, ketika menceritakan pengalaman melayani Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang sering berkunjung ke restorannya untuk bersarapan.

Katanya, pada peringkat awal baginda hanya duduk di meja biasa bersama kariah Masjid Imam Ash Shafie di Bandar KotaSAS, Kuantan dan beberapa pegawai istana.

Beliau berkata, pihaknya kemudian mengambil inisiatif menyediakan meja khas bersama kain alas meja berwarna kuning sebagai menghormati baginda yang juga tetamu eksklusif restorannya itu.

“Pihak istana atau baginda sendiri tidak minta (meja khas dan alas meja berwarna kuning) kami ambil inisiatif sediakan. Kami juga sediakan pinggan dan cawan khas untuk baginda.

“Baginda amat ringkas orangnya, apabila baginda datang bersarapan kami sudah tahu menu apa yang diinginkan. Roti canai garing, nasi lemak dan dua biji telur separuh masak antara yang sering dipesan,” katanya.

Rosnida yang memulakan perniagaan sejak 2015 berkata, Al Sultan Abdullah akan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam apabila bersarapan dan sering berkunjung ke restorannya jam 6.45 pagi.

Katanya, baginda akan bersarapan dua atau sekali seminggu bersama kariah masjid dan sering belanja orang ramai turut bersarapan bersama baginda pada waktu itu.

“Kadang-kala Tengku Puan (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) turut berangkat menemani baginda bersama pegawai istana.

“Apabila baginda datang secara automatik kedai saya akan diserbu rakyat jelata yang ingin melihat baginda secara dekat,” katanya.

Rosnida berharap keakraban bersama baginda dan Tunku Azizah dapat diteruskan pada masa akan datang walaupun baginda sudah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, mulai 31 Januari ini.

Beliau berkata, Restoran D’ Wafi yang terletak di Indera Mahkota 8, Kuantan menyajikan hidangan roti canai, nasi lemak, nasi minyak, laksam dan beberapa jenis kuih serta beroperasi seawal jam 6 pagi hingga 2 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 8:02 PM