ANNUAR Musa. FOTO Abdullah Yusof
ANNUAR Musa. FOTO Abdullah Yusof
Rizanizam Abdul Hamid

BARISAN Nasional (BN) dinasihat tidak terpedaya dengan pujian dan pengakuan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa pembangkang berpotensi menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang mungkin menjadi muslihat kempen di saat akhir.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, tempoh kurang 48 jam untuk berkempen sebelum hari pengundian Sabtu ini adalah waktu yang perlu dijaga jentera BN daripada melakukan sebarang kesilapan.

“Berkemungkinan (ada muslihat), sebab itu dalam masa berkempen begini nak sampai ke hujung ni dia banyak juga orang kata kalau main bola tu (ada) indirect free kick.

“Tendang ke lain bola ke lain dan sebagainya. Kita dah lama dalam dalam game (politik) ini, kita boleh terhidu dan tahu. Pokoknya apapun PH kata, BN jangan terpedaya dengan kata pujian dan sebagainya,” katanya pada pada sidang media di Tanah Rata di Cameron Highlands, hari ini.

Annuar berkata demikian ketika ditanya apakah BN merasakan tindakan beberapa pemimpin utama PH termasuk Perdana Menteri yang juga Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad yang digambarkan secara ‘senyap-senyap’ mahu calon BN menang PRK kali ini, sebagai satu muslihat.

Sambil mengakui ada kemungkinan itu, Ahli Parlimen Ketereh itu turut meramalkan tempoh 48 jam terakhir berkempen boleh berubah jika berlaku perkara yang berpunca daripada kelalaian jentera BN.

“Kita dah beritahu jentera kita benda yang paling kita bimbang sekali adalah BN rasa dia boleh menang dengan mudah dan kita terlupa sudah tiada kekuatan sebagai kerajaan Pusat. Maknanya kita underdog,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, ketika berucap pada ceramah PH berkata, kemenangan PH bukan mudah kerana perlu mengatasi majoriti 4,184 undi dan bukannya 597 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu.

Majoriti 4,184 undi disebut Guan Eng itu merujuk jumlah majoriti diperoleh BN pada PRU-14, yang ditambah dengan 3,587 undi diperoleh PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 8:21 PM