POKOK yang menjadi lokasi tonto meninjau kehadiran pihak berkuasa. (Gambar kanan) TONG LPG subsidi yang dirampas dari stor di Puchong, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


GENG ‘tonto’ bertenggek atas pokok. Itu taktik digunakan sindiket penyelewengan tong Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa, sekali gus mengelak diberkas.

Tonto upahan itu dikesan berkawal di atas pokok setinggi lebih lima meter terletak di belakang stor penyimpanan beratus tong LPG subsidi di Taman Desa Air Hitam, Puchong.

Tonto terbabit berperanan menghubungi ahli sindiket di dalam premis menggunakan alat perhubungan walkie-talkie sebaik mengesan kehadiran kenderaan mencurigakan.

Dalam operasi 10 pagi semalam, semua suspek sempat melarikan diri sebaik premis itu diserbu sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Hasil serbuan itu, sebanyak 127 tong LPG seberat 50 kilogram (kg) dan 192 tong LPG bersubsidi seberat 14kg bernilai lebih RM50,000 dirampas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Sepang, Mohd Nor Iskandar Zainoor berkata, rampasan itu dijalankan selepas pihaknya melakukan risikan sejak hampir sebulan lalu.

Menurutnya, stor pemindahan gas bersubsidi terletak bersebelahan taman perumahan itu beroperasi secara haram. “Malah terdapat kandang lembu berhampiran bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu dijadikan pusat pemindahan tong LPG subsidi selain tidak memiliki lesen borong atau runcit sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

“Premis ini dipercayai beroperasi sejak awal tahun lalu sebagai pusat pemindahan LPG bersubsidi kepada tong industri sebelum diedarkan sekitar Puchong dan Lembah Klang.

“Tiada tangkapan dibuat dalam serbuan itu berikutan pekerja dan pemilik premis sempat melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati stor haram berkenaan dimiliki warga tempatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memindahkan barang kawalan dari premis dilesenkan kepada premis tidak dilesenkan yang jika sabit kesalahan syarikat itu boleh didenda maksimum RM2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 9:25 PM