LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.


FIRMA guaman Rahmat Lim & Partners menegaskan memainkan peranan terhad sebagai peguam Goldman Sachs membabitkan isu bon dikaitkan dengan syarikat pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Firma itu dalam satu kenyataan, hari ini, bagaimanapun berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh dan sentiasa komited dalam membantu polis menyiasat isu 1MDB mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Mengikut permintaan polis sebelum ini, kita sudah serahkan semua dokumen yang boleh didedahkan seperti dipersetujui antara peguam dan anak guam.

“Pada masa sama, kita tidak menyerahkan beberapa dokumen lain kerana ia dilarang mengikut undang-undang,” katanya.

Terdahulu, firma itu diserbu sepasukan polis pagi, hari ini.

Serbuan itu dibuat susulan keengganan firma berkenaan untuk memberikan kerjasama kepada polis bagi menyerahkan dokumen yang diminta dalam melengkapkan siasatan kes 1MDB.

Serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), bagi mengesan dokumen berkaitan untuk melengkapkan siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, serbuan berkenaan adalah sebahagian daripada siasatan kes 1MDB yang masih dilakukan oleh JSJK.

Berita berkaitan

Polis serbu firma guaman Goldman Sachs

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 10:15 PM