MOHD Khaizam (tengah) memeriksa tablet dalam serbuan di sebuah pusat perjudian di Puchong, hari ini. Foto HAFIZ SOHAIMI
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan tiga individu warga asing termasuk seorang wanita dan sembilan pemain judi dalam talian dalam serbuan di dua premis di Taman Kinrara, Puchong, awal pagi hari ini.

Dalam serbuan serentak bermula kira-kira jam 12 tengah malam, dua warga Indonesia termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 25 hingga 34 tahun ditahan kerana disyaki penjaga dua premis judi dalam talian berkenaan.

Selain itu, polis turut menahan sembilan lelaki berusia antara 26 hingga 53 tahun yang juga pemain judi di dua premis terbabit.

Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Selangor Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, sindiket judi dalam talian terbabit berselindung di sebalik premis pusat snuker dan bilik tersorok di sebuah bangunan.

“Hasil maklumat disalurkan orang awam, kami mendapati sindiket berkenaan menjadikan sebuah pusat snuker sebagai lokasi bagi pelanggan mereka bermain judi.

“Setiap pelanggan dibekalkan dengan tablet berserta nombor siri bagi kegunaan mereka menambah nilai wang pertaruhan menerusi aplikasi WeChat selepas menyerahkan wang tunai kepada penjaga premis berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mengetuai serbuan itu.

Mohd Khaizam berkata, pihaknya turut menyerbu pusat judi dalam talian yang baru saja aktif sejak empat hari lalu dengan dipercayai mampu mengaut jumlah pertaruhan maksimum mencecah RM33,000 dalam tempoh sehari.

“Berdasarkan rekod, jumlah pertaruhan sindiket itu mencecah RM89,000 dalam tempoh empat hari menjalankan kegiatan terbabit.

“Difahamkan, hanya pelanggan tetap saja dibenarkan masuk ke dalam premis berkenaan yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) serta kawalan ‘pintu besi’ yang hanya boleh dibuka dari dalam,” katanya.

Katanya, pihaknya turut merampas lima komputer riba, 13 tablet, tiga telefon bimbit, dua modem dan wang tunai RM1,200 dalam serbuan di kedua-dua premis bekenaan.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 8:54 AM