zanizam Abdul Hamid


KUNJUNGAN kerap Datuk Seri Najib Razak untuk membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands atas permintaan rakyat setempat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, selain menyambut penerimaan rakyat, tujuannya hanya membantu parti memenangi PRK kali ini walaupun terdapat pelbagai andaian disuarakan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Saya nak bantu saja pilihan raya ini atas permintaan rakyat, masyarakat setempat. Dia (pemimpin kerajaan) nak cakap tu apa yang dia kisahkan?

“Saya tak kisah pun kat dia,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN di Tanah Rata di sini, semalam.


NAJIB meluangkan masa menggoreng pisang ketika tinjauan mesra sempena PRK P078 Cameron Highlands di pekan Ringlet, Cameron Highlands. FOTO Aizuddin Saad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika kempen ceramah PH di Tanah Rata, malam kelmarin, PRK kali ini yang terpenting dalam sejarah negara kerana menjadi kayu ukur penerimaan rakyat terhadap Najib.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi gambaran sama apabila berkata, Ahli Parlimen Pekan itu dilihat lebih kerap turun padang pada PRK Cameron Highlands berbanding empat PRK lain selepas kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei lalu.

Kit Siang turut mendakwa usaha Najib itu juga mungkin untuk memenuhi cita-cita menjadi perdana menteri kali kedua seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas isu sama ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan mesra di Ringlet, tengah hari semalam, Najib berkata, Anwar tidak perlu ambil kisah pergerakannya kerana mempunyai hak sebagai pemimpin BN.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 11:29 AM