Junita Mat Rasid


POLIS merampas rokok dan arak seludup bernilai kira-kira RM13.7 juta dalam empat serbuan di Johor, Rabu lalu.

Serbuan dilakukan susulan rampasan barangan yang sama bernilai RM1.6 juta di Lembah Klang, tiga hari sebelum itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, dalam serbuan antara jam 1.10 tengah hari hingga jam 3 petang itu, polis turut menahan empat suspek lelaki berusia antara 37 hingga 49 tahun, selain lapan lori bernilai kira-kira RM680,000.

Katanya, operasi itu membabitkan serbuan di empat lokasi, masing-masing dua serbuan di Bandaraya Johor Bahru dan Yong Peng di Batu Pahat.

“Sejumlah 1,499 kotak rokok pelbagai jenama dan 596 kotak minuman keras dirampas, selain lapan lori yang digunakan untuk mengangkut barangan terbabit,” katanya pada sidang media di Balai Polis Tampoi, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Zainal Abidin berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak tiga atau empat tahun lalu dan mempunyai kaitan dengan kumpulan penyeludupan yang berjaya ditumpaskan dalam serbuan di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

“Sindiket ini tidak bergerak sendiri. Ada kumpulan dia sendiri dan kita sedang menjalankan tindakan untuk memastikan sindiket ini dilumpuhkan. Rangkaian sindiket ini luas, mungkin ada lima sindiket, enam sindiket (berkaitan). Kita belum tahu,” katanya.


ZAINAL Abidin (dua dari kanan) dan Mohd Kamarudin (tiga dari kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas ketika sidang media di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru, hari ini. Foto HAIRUL ANUAR RAHIM

Beliau berkata, dalam kes terbaru itu, semua suspek mempunyai antara sembilan hingga 16 kes jenayah berkaitan penyeludupan, jenayah kekerasan, kes dadah dan penjualan cakera padat video (VCD) cetak rompak.

Menurutnyan, rokok dan minuman keras itu dipercayai diseludup dalam jumlah yang banyak sebelum dibahagikan untuk pasaran di kawasan tertentu.

Katanya, siasatan juga mendapati barangan berkenaan adalah untuk pasaran selatan tanah air dan Lembah Klang.

“Barangan ini mungkin datang dengan kontena atau bot sebelum diedarkan kepada peruncit dan ke (penjual) bawah. Mungkin ada barangan didatangkan dalam jumlah yang besar sebelum dipecah dan diedarkan ke bawah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(i)(a) Akta Kastam 1967 yang boleh dikenakan hukuman tidak kurang 10 kali ganda nilai Duti Kastam atau RM50,000 dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai duti kastam atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 1:22 PM