GAMBAR Hiasan
Shahrinnahar Latib


TAKTIK sindiket Macau Scam yang menakut-nakutkan seorang pesara kerajaan kononnya terbabit dalam kes langgar lari membuahkan hasil apabila warga emas itu mengalami kerugian sehingga RM20,500.

Kejadian bermula Isnin lalu, apabila mangsa berusia 60 tahun dan tinggal di Kuala Tahan, Jerantut, dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa mangsa terbabit dengan kes langgar lari seorang remaja berusia 14 tahun di Seremban menggunakan kereta Honda yang disewa atas namanya.

“Bagi menakutkan lagi mangsa, suspek turut mendakwa, kes yang dihadapi oleh mangsa berat kerana polis turut menemui sejumlah dadah dalam kenderaan berkenaan.

“Mangsa kemudian dirujuk kepada seorang lagi suspek yang mendakwa pegawai polis bernama Inspektor Cheah Way K melalui sambungan panggilan untuk diambil keterangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Wazir berkata, bagi meyakinkan lagi ‘lakonan’ itu, mangsa juga diberi beberapa keping gambar penjenayah melalui aplikasi WhatsApp yang kononnya dikatakan geng kepada pesara itu.

“Seterusnya, panggilan disambung kepada seorang lagi pegawai polis bernama Tuan Peck dan mangsa diminta membayar wang jaminan RM20,500 atau akan ditahan,” katanya.

Bagi mengelak ditahan, mangsa yang ketakutan akur dengan arahan berkenaan lalu menyerahkan kata laluan dan nama pengguna akaun perbankan internetnya untuk tujuan pembayaran wang jaminan.

“Mangsa turut menyerahkan dua nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada pegawai terbabit dengan jumlah transaksi RM14,400. Seterusnya dia memasukkan RM6,100 ke akaun sebuah bank seperti diminta,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihubungi pihak bank untuk pengesahan transaksi berkenaan dan dinasihatkan membuat laporan polis kerana disyaki sudah ditipu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Jerantut, semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 3:18 PM