Iskandar Shah Mohamed


BIARPUN baru saja dibebaskan daripada ‘tirai besi’, seorang bekas banduan masih tidak serik memperdayakan orang ramai dengan menyamar sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman.

Difahamkan, lelaki berusia 42 tahun yang bebas sejak November tahun lalu itu mengaku dirinya berpangkat Superintendan dan kononnya ditugaskan untuk menjalankan risikan keselamatan.

Lebih mengejutkan, suspek yang bergerak bersendirian turut memperdayakan pegawai kerajaan, ketua kampung, penghulu, pengarah hotel dan penyelia pengawal keselamatan.

Kelicikan suspek yang baru selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan sama bagaimanapun terbongkar apabila ditahan polis di sekitar Kampung Delek, Klang, pada 1.30 tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan itu dilakukan hasil laporan seorang wanita yang kerugian RM5,000 akibat diperdaya suspek.

“Berdasarkan laporan itu, suspek didakwa meminta wang kerana kononnya mampu membantu mangsa membebaskan suaminya yang ditahan Jabatan Imigresen.

“Bertindak atas maklumat, kami menahan lelaki berkenaan yang didapati masih berpakaian lengkap uniform pegawai polis.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah rumah yang dipercayai disewanya sejak dua bulan lalu menemui pelbagai peralatan dan pakaian berlogo polis seperti vest keselamatan, baju kalis peluru, kasut hitam, dan sarung pistol,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Klang, hari ini.


SHAMSUL Amar (dua dari kiri) menunjukkan pakaian seragam polis serta peralatan milik suspek yang menyamar sebagai pegawai kanan polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek memiliki 21 rekod jenayah lampau berkaitan penipuan, menyamar pegawai polis dan kecurian sejak 2006.

Katanya, hasil penahanan suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes penyamaran polis iaitu lapan kes di Klang Selatan dan dua di Klang Utara.

“Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 dan 170 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan menyamar penjawat awam.

“Malah, kami masih menyiasat sama ada suspek terbabit dalam penipuan wang membabitkan mangsa lain,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, suspek yang berasal dari Sarawak itu disyaki meliwat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di kampung sama, sejak bulan lalu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan iaitu melakukan persetubuhan di luar tabii tanpa kerelaan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu seumpama itu dan membuat rujukan kepada polis terlebih dulu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 4:31 PM