Zatul Iffah Zolkiply


HANYA kerana mi segera yang diidamkan tiada di rumah, seorang lelaki naik hantu apabila mengugut mahu membakar rumah dalam kejadian di Kuala Ibai, Kuala Terengganu Isnin lalu.

Bukan itu saja, lelaki berusia 32 tahun terbabit turut mengugut mahu menumbuk ibunya berusia 57 tahun dalam kejadian jam 12.30 tengah hari.

Menurut sumber, lelaki yang tidak bekerja itu dikatakan mahu makan mi segera namun mangsa memaklumkan bekalan mi segera tiada di rumah menyebabkan dia mengamuk.

Katanya, lelaki yang tidak berpuas hati dengan jawapan mangsa naik angin dan mengugut mahu menumbuk mangsa.

“Suspek turut mengugut mahu merosakkan televisyen dan membakar rumah mereka.

“Difahamkan, kejadian seumpama itu sudah banyak kali berlaku dan suspek memang selalu mengugut mahu membakar rumah jika mengamuk.

“Mangsa yang bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga lain membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Susulan laporan diterima, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine ditahan di rumahnya jam 3.20 petang semalam,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, suspek direman tiga hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 4:44 PM