Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KEBERANGKATAN Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menunaikan solat Jumaat di Masjid Baru Temerloh, ibarat membawa rahmat buat penduduk di daerah itu.

Warga emas, Abdul Malik Abdullah, 84, dari Kampung Bangau, Temerloh, berkata keberangkatan baginda sememangnya ditunggu penduduk apatah lagi baginda bakal ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Katanya, dia sudah beberapa kali bersua muka dan bersolat bersama baginda di masjid di Temerloh beberapa tahun lalu, namun kini ia sedikit berbeza apabila baginda baharu dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang dan akan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Dahulu saya jumpa baginda masih lagi Tengku Mahkota, kini baginda adalah Sultan Pahang dan bakal jadi Yang di-Pertuan Agong.

“Saya doakan baginda diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan usia untuk memimpin dan memerintah negara dengan bijaksana.

“Akhirnya rakyat Pahang dapat menyaksikan lagi Sultan Pahang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong mengulangi istiadat pemasyhuran Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong 40 tahun lalu,” katanya.


AL Sultan Abdullah berswafoto bersama penerima sumbangan golongan asnaf selepas menunaikan solat Jumaat pada Majlis Kesyukuran sempena Memuliakan Pemasyhuran Sultan Pahang ke 6 dan pelantikan Yang di-Pertua Agong ke 16 di Masjid Baru Daerah Temerloh, hari ini. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL.

Sementara itu, Rizal Rashid, 40, yang juga penerima bantuan asnaf disampaikan baginda terharu kerana sumbangan itu diserahkan secara terus kepadanya daripada baginda.

“Terharu kerana baginda serahkan sumbangan terus kepada saya dan mencium dahi saya...ia seperti satu penghormatan buat saya.

“Saya menerima dua sumbangan iaitu sumbangan peribadi daripada Al Sultan Abdullah dan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Sumbangan ini akan digunakan sebaik mungkin dan berharap lebih ramai insan berhati mulia seperti baginda membantu golongan asnaf pada masa hadapan,” katanya.

Munah Ab Wahab, 60, berkata, dia teruja sebaik mengetahui Al Sultan Abdullah akan berangkat ke Temerloh hari ini.

“Saya dapat tahu semalam dan terus maklum kepada anak selepas solat Jumaat nak ke masjid untuk jumpa baginda.

“Ini kali pertama saya bertemu baginda secara dekat dan bangga kerana baginda akan jadi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Katanya, pemilihan Al Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong hangat diperkatakan rakyat Pahang sejak minggu lalu dan sebahagian besar mereka tidak sabar menyaksikan istiadat pertabalan baginda pada 31 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 6:23 PM