Shaharuddin (tiga kanan) meninjau muatan timbang kenderaan berat selepas merasmikan Stesen JPJ di Lebuhraya Utara-Selatan. FOTO L Manimaran
Farah Suhaidah Otman


SEBANYAK 39,311 pesalah trafik yang dirakam menerusi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di seluruh negara disenaraihitam dan dikenakan waran tangkap berikutan gagal melunaskan saman dari September hingga Disember tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, sejak pihaknya mengambil alih operasi kamera itu dari 1 September sehingga 21 Januari lalu, 95,850 notis saman dikeluarkan menerusi 45 kamera AWAS di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 10,876 saman sudah diselesaikan manakala 84,974 saman lagi belum dilunaskan oleh pesalah trafik.

“Sehingga Disember 2018, 39,358 saman dibawa untuk pendakwaan di mahkamah namun hanya 45 saja pesalah trafik hadir.

“Berikutan itu, JPJ menyenarai hitam dan mengenakan waran tangkap kepada 39,311 pesalah trafik yang gagal menyelesaikan saman dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Stesen JPJ di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail.

Shaharuddin berkata, JPJ menyelaraskan 17 lokasi operasi AWAS di kawasan lebuh raya bagi merakam kesalahan pemandu kenderaan yang memandu melebihi had kelajuan 110 kilometer sejam (km/j) seperti ditetapkan.

“Sejak kita ambil alih bermula 1 September 2018, kita menarik semula had laju di bawah 110 km/j seperti tiga lokasi sebelum ini yang mana had lajunya 90 km/j iaitu dua di Putrajaya dan satu di Kajang.

“Bagaimanapun, akan ada had laju 80 km/j selepas empat kamera AWAS dipasang di kedua-dua arah Terowong Menora selepas Tahun Baru Cina ini yang disifatkan lokasi kerap berlaku kemalangan,” katanya.

Katanya, setakat ini pihaknya masih lagi mengadakan perbincangan bersama jawatankuasa khas membabitkan PLUS dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) bagi menentukan lokasi pemasangan kamera berkenaan iaitu kawasan sebelum dan selepas terowong.

Sementara itu, mengenai cadangan PLUS bagi pemasangan AWAS di Jambatan Pulau Pinang, Shaharuddin berkata, pihaknya masih dalam peringkat perbincangan mengenai perkara itu berikutan had laju yang ditetapkan sepanjang jambatan itu hanya 80km/j.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 6:37 PM