FOTO hiasan
Norrasyidah Arshad


KERAJAAN Selangor menggunakan formula tersendiri menentukan kadar baharu tarif air di negeri itu bagi memastikan ia tidak membebankan pengguna.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, ketika ini, pihaknya mengadakan perbincangan bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi mendapatkan tarif air yang sesuai.

Menurutnya, jika ada sebarang kenaikan tarif air, beliau akan pastikan ia tidak membebankan pengguna, terutama golongan B40.

“Selangor ada formula tersendiri untuk menentukan kadar baharu ini supaya tidak membebankan kerana pada masa ini kos pengurusan untuk satu meter padu air adalah RM0.96, sementara pengguna hanya membayar kurang dari RM0.40.

“Semasa pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, EXCO sudah memaklumkan sebarang kenaikan tarif air dijamin tidak akan membebankan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Hak Milik dan Notis 5A Kampung Sungai Sireh Tambahan di Dewan Orang Ramai Kampung Delek, Klang, hari ini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengulas kenyataan Abdul Khalid yang mendakwa adalah memalukan jika seorang menteri meminta rakyat mengasihani kerajaan dan menerima kenaikan tarif air tanpa bantahan.

Rabu lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber, Asli Dr Xavier Jayakumar meminta rakyat melihat keputusan menaikkan tarif air sebagai satu tanggungjawab dan mereka wajar menunjukkan belas kasihan kepada kerajaan.

Beliau berkata, ini kerana kos utiliti air yang ditanggung kini adalah sangat tinggi dan semua itu menggunakan peruntukan kerajaan.


Amirudin (tengah) ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Hak Milik dan Notis 5A Kampung Sungai Sireh Tambahan di Dewan Orang Ramai Kampung Delek, Klang. Foto Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 6:50 PM