AMIRUDIN. FOTO Faiz Anuar
Norrasyidah Arshad


KERAJAAN Selangor tidak menerima sebarang laporan berhubung penindasan pekerja di kilang membuat kondom yang beroperasi di Pelabuhan Klang seperti dilaporkan sebuah agensi media antarabangsa, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata, pihaknya memandang serius sebarang isu diskriminasi membabitkan pekerja yang berlaku di negeri itu.

“Disebabkan itulah kita buat Institut Pekerja bagi mendidik pemilik syarikat dan kilang menghargai pekerja mereka.

“Ini adalah satu langkah yang amat proaktif diambil kerajaan negeri,” katanya.

Beliau yang ditemui di Klang, hari ini, berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar The Telegraph Rabu lalu mengenai keadaan pekerja warga asing di sebuah kilang membuat kondom terkemuka dunia yang beroperasi di negara ini iaitu di Pelabuhan Klang, Selangor dan Pontian serta Senai, Johor, yang dikatakan ditindas majikannya.

Laporan itu yang menyiarkan temuramah dengan pekerja asing dari Nepal antara lain mendakwa mereka dibayar dengan gaji yang sangat rendah iaitu sebanyak RM1,027 sebulan walaupun mereka bekerja selama lapan jam sehari, enam hari seminggu.

Pekerja terbabit turut mendakwa sebelum itu mereka dijanjikan ejen di negara asal akan mendapat gaji lebih daripada bayaran RM4,378 yang perlu dibayarnya untuk datang ke negara ini.

Selain isu gaji yang sangat rendah, pekerja asing terbabit turut mengeluh mengenai keadaan tempat tinggal mereka yang teruk dan sesak termasuk terdedah kepada haiwan berbisa.

Laporan itu turut menyatakan syarikat kondom berkenaan membekalkan kondom untuk Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di United Kingdom (UK) serta pasar raya besar seperti Tesco, Boots dan Superdrug.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 8:25 PM