BERNAMA

WABAK rabies atau anjing gila kini diisytiharkan bencana tahap II selepas wabak itu berlaku melebihi dari satu daerah di Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dibuat ketika Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Bapa semalam.

“Keputusan ini dibuat selepas kes positif rabies dalam kalangan manusia mencatatkan 17 kes dengan 16 kes kematian dan jumlah kawasan yang positif rabies meningkat 61 kawasan di seluruh Sarawak kecuali bahagian Limbang.

“Pengurusan Bencana Tahap II ialah pengurusan dan pengendalian kejadian bencana yang berlaku melebihi satu daerah negeri yang memerlukan penyelarasan dan penggemblengan sumber di peringkat negeri dengan bantuan pusat,” katanya di Kuching hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, JPBN bertanggungjawab menggerakkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri bagi memastikan segala tindakan dilaksanakan secara teratur, cekap dan selaras.

“Ketua Polis Negeri serta Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri bertanggungjawab sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana apabila pengendalian bencana diambil alih secara keseluruhannya oleh peringkat negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah turut mencadangkan beberapa penambahbaikan dalam operasi membanteras wabak rabies dengan berkesan dan menyeluruh menerusi arahan MKN 20.

“Antaranya adalah pengurusan kes rabies yang lebih berkesan bagi manusia; kesedaran dan komunikasi risiko penyakit rabies; pengawalan penyakit rabies yang bersepadu termasuk mengambil tindakan ke atas anjing terbiar.

Pemilik anjing juga dinasihatkan tidak membiarkan anjing mereka bebas berkeliaran dan membawa anjing keluar dari kawasan wabak rabies tanpa kebenaran bertulis dari “State Veterinary Authority”.

Jika didapati melakukan kesalahan itu, pemilik anjing boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 37 (2) & (3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 9:33 PM