ANTARA wanita warga asing dipercayai GRO yang ditahan dalam serbuan Op Noda di Petaling Jaya, hari ini. Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


BERHIBUR sambil dibelai wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Indonesia. Itu tarikan digunakan sebuah pusat hiburan di Kelana Jaya bagi menarik kehadiran pelanggan.

Bagaimanapun, tindakan itu terbongkar apabila premis hiburan tanpa lesen terbabit diserbu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, awal pagi hari ini.

Dalam serbuan jam 12 tengah malam itu, polis menahan seramai 10 individu termasuk lapan wanita warga Indonesia disyaki GRO menerusi Op Noda.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, hasil risikan dilakukan pihaknya mendapati premis berkenaan sudah beroperasi lebih enam bulan lalu.

Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati premis berkenaan menggunakan wanita warga Indonesia sebagai GRO bagi penarik pelanggan.

“Mereka membayar komisen bagi setiap pelanggan yang dilayani dan semakin ramai pelanggan semakin banyak komisen diperolehi.

“Hasil serbuan, kami menahan lapan wanita warga Indonesia berusia 24 hingga 34 tahun dan semakan mendapati ada antara mereka didapati tidak mempunyai permit selain menyalahgunakan pas lawatan.

“Semua wanita terbabit dipercayai tinggal di dalam empat bilik disediakan di premis berkenaan,” katanya.


ANGGOTA polis memeriksa wanita warga asing ketika operasi. Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Menurutnya, pihaknya turut menahan dua lelaki membabitkan seorang warga Bangladesh disyaki pekerja premis dan seorang warga tempatan disyaki penjaga premis.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan pihaknya mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen.

“Semakan juga mendapati mereka tidak mempunyai permit untuk menjual minuman keras. Susulan itu, polis merampas peralatan hiburan, minuman keras dan sejumlah wang tunai.

“Semua suspek dan rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 8:37 AM