PEMANCING yang diselamatkan selepas bot mereka hanyut akibat kerosakan enjin di perairan Inderasabah di Tawau. Foto Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


ENAM pemancing mengharungi detik cemas selepas enjin bot yang dinaiki mengalami kerosakan ketika keluar memancing di perairan Inderasabah, Tawau, petang semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot pancing terbabit diaktifkan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau sebaik laporan diterima, jam 4.55 petang.

Katanya, selepas hampir sejam SAR dijalankan, bot ronda RH 59 mengesan bot pancing terbabit yang hanyut di laut Derby Bank berhampiran laut Hand Rock.

“Seramai enam mangsa iaitu tiga lelaki tempatan bersama dua lelaki masing-masing warga Australia dan seorang wanita tempatan ditemui dalam keadaan selamat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, bot pancing terbabit kemudian ditunda ke jeti Pancing Fishing Paradise Sungai Balung di Kampung Inderasabah, jam 8 malam.

Sementara itu, dalam kes berasingan, PPM merampas 320 bungkus rokok seludup selepas menahan seorang lelaki di Jalan Pasar, Tawau, jam 8.40 malam semalam.

Dalam serbuan itu, suspek warga asing berusia 48 tahun sedang memunggah barang yang dimuatkan dalam guni daripada sebuah kereta di hadapan sebuah kedai.

Menurutnya, ketika serbuan suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan terhadap karung plastik itu mendapati mengandungi pelbagai jenis rokok tanpa cukai kastam.

“Turut dirampas sebuah kereta yang digunakan suspek dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM51,800.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 (Pindaan 2018) dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 11:09 AM