AL-Sultan Abdullah mengaminkan doa selepas menunaikan solat hajat berjemaah yang diimamkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman bersama kira-kira 3000 jemaah di Masjid Baru Daerah Temerloh.
Amin Ridzuan Ishak dan Muhammad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah pelajar pendiam ketika di bangku sekolah.

Bagaimanapun, baginda mesra dengan semua pelajar dan tidak kekok berkomunikasi dengan rakannya walaupun berstatus anak raja yang mungkin mewujudkan jurang antara mereka.

Rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan (SK) St Thomas dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas, di sini, Datuk Mohammad Sohaimi Abd Hamid berkata, sikap keterbukaan dan kemesraan Al-Sultan Abdullah menyebabkan mereka tidak segan untuk berbual dengan golongan diraja.


AL-Sultan Abdullah (dalam bulatan) ketika darjah enam (1971) di Sekolah Kebangsaan St Thomas, Kuantan.

“Baginda sama seperti pelajar lain dan tiada protokol, datang ke sekolah tanpa ada pegawai pengiring bersama dengannya dan apabila rehat, baginda ke kantin membeli makanan seperti murid lain.

“Walaupun pendiam namun baginda aktif bersukan seperti bola sepak dan menganggotai pasukan pengakap sekolah.

“Sifat kemesraannya dibawa sehingga menjadi Tengku Mahkota Pahang, Pemangku Raja Pahang dan seterusnya Sultan Pahang dan kini dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang jelas disenangi rakyat jelata,” katanya yang sekelas dengan Al-Sultan Abdullah dari tahun empat hingga tingkatan satu.

Mohammad Sohaimi yang juga pesara syarikat swasta berkata, perkara paling tidak boleh dilupakannya adalah ketika baginda datang sendiri ke kediamannya di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, untuk bertemunya.

“Saya berpindah mengikut keluarga dan terkejut apabila baginda datang ke rumah di Kuala Lumpur kerana mahu mencari saya, kami berbual panjang di rumah.

“Sehingga kini, baginda masih berkawan dengan saya dan rakan sekolah. Baginda ada menjemput kami ke Istana Abdulaziz ketika sambutan hari lahirnya untuk merapatkan lagi hubungan.

“Baginda seronok melihat gambar ketika bersekolah kerana ia mengingatkan kenangan lama yang manis, saya sebagai bekas rakan sekelas berbangga dengan pencapaiannya terutama menjadi pemerintah disayangi ramai kerana sikap baik hati,” katanya.


MOHAMMAD Sohaimi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 12:05 PM