Pemenang cabutan BSN SSP bulan Disember 2018, Yahaya Abdullah (dua dari kanan) dari Terengganu bersama keluarganya pada majlis meraikan cabutan BSN SSP terakhir 2018 di Wisma BSN Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri.

Pemenang cabutan BSN SSP bulan Disember 2018, Yahaya Abdullah dari Terengganu pada majlis meraikan cabutan BSN SSP terakhir 2018 di Wisma BSN Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri.
Pemenang cabutan BSN SSP bulan Disember 2018, Yahaya Abdullah dari Terengganu pada majlis meraikan cabutan BSN SSP terakhir 2018 di Wisma BSN Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri.
Nor Akmar Samudin

“BILA saya ternampak nama ‘Yahaya Abdullah’ pada skrin televisyen yang sedang menyiarkan berita terus terdetik di hati adakah itu nama saya yang diumumkan sebagai pemenang RM1 juta menerusi cabutan istimewa itu,” kata Yahaya Abdullah, 61.

Yahaya dari Hulu Terengganu adalah pemenang utama Cabutan Istimewa Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) bulan Disember 2018 sekali gus mengakhiri pencarian jutawan ke-12 bagi kempen BSN SSP tahun 2018.

Kata Yahaya, jarang orang yang bernama sama dengannya, ejaan nama sedemikian lalu dia minta isteri dan anak mencari sijil simpanannya.

“Alhamdulillah, memang nama saya dan esoknya sebelum saya pergi untuk mengesahkannya di pejabat BSN berhampiran tempat tinggal saya di Kampung Lubuk Periuk, saya dihubungi pegawai dari BSN Kuala Terengganu minta saya datang ke sana,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan replika cek di Wisma BSN, Kuala Lumpur, hari ini.

Yahaya yang juga pengusaha limau madu berkata, beliau mula menyimpan di BSN SSP sembilan tahun lalu dan tidak pernah menyangka akan menjadi salah seorang pemenang utama cabutan itu.

“Saya belum ada perancangan dengan wang yang dimenangi kerana saya memang tak jangka akan menang,” katanya.

Bagaimanapun kata Yahaya, dengan kemenangannya itu beliau akan menggalakkan anak-anaknya dan orang ramai menyimpan dengan BSN SSP.

Sementara itu, Azizon Samsudin dari Perak memenangi kereta BMW X5 dan Nur Izzatun Nadia Saiful Bahari juga dari Perak menang RM10,000.

Replika cek disampaikan oleh Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibur Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 1:51 PM