Lokasi kemalangan membabitkan treler dan motosikal yang bertembung di kilometer 118 Jalan Miri-Bintulu. FOTO Kandau Sidi.
Lokasi kemalangan membabitkan treler dan motosikal yang bertembung di kilometer 118 Jalan Miri-Bintulu. FOTO Kandau Sidi.
Kandau Sidi


DUA sahabat maut selepas motosikal ditunggang bertembung treler di Kilometer 118 Jalan Miri - Bintulu, Miri, petang semalam.

Kejadian jam 5.15 petang itu menyebabkan mangsa, Jeckson Fahik, 17, seorang warga Indonesia, dan rakannya, Amir Lau, 17, warga tempatan berketurunan Penan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Manakala, pemandu treler, berusia 47 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supritanden Alexson Naga Chabu berkata, hasil siasatan awal mendapati motosikal mangsa dari arah Niah menghala ke Bintulu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung treler berkenaan.

“Mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alexson berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 2:07 PM