Penduduk menunjukkan air yang diambil dari pokok petai yang dikatakan 'menangis' sejak seminggu lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Penduduk menunjukkan air yang diambil dari pokok petai yang dikatakan 'menangis' sejak seminggu lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail


POKOK petai berusia 30 tahun di Kampung Petani, Sering, Kota Bharu dikatakan menangis selepas mengeluarkan air seperti hujan renyai sejak Isnin lalu.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Ayah Long, 59, berkata, pokok setinggi 30 meter itu adalah milik saudaranya yang tinggal di Gua Musang.

Katanya, kebiasaannya, fenomena itu berlaku dari jam 8 malam hingga 6 pagi.

“Saya menyedari kejadian itu Isnin lalu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Isyak di surau berhampiran.

“Pada mulanya, saya lihat jalan tar basah dan saya sangka ia berpunca daripada paip bocor.

“Ketika saya melalui bawah pokok itu saya terasa seperti hujan renyai dan apabila diperiksa didapati pokok itu mengeluarkan air dari daun dan dahan.

“Pokok itu mengeluarkan air jernih dan berbau manakala rasanya pula sedikit payau,” katanya hari ini.

Menurutnya, sejak kejadian itu tular di media sosial, kawasan rumahnya menjadi pesta apabila dipenuhi orang ramai yang mahu melihat sendiri fenomena itu.

“Ada juga dalam kalangan pengunjung datang bersama baldi dan bekas air untuk menadah airnya,” katanya.

Sementara itu, penyampai radio Azidi Abdullah, 26, yang tinggal di kawasan berhampiran turut teruja dengan fenomena yang jarang berlaku.

“Sebelum ini, saya difahamkan kejadian sama pernah berlaku di Bunut Susu, Pasir Mas dan mungkin kajian perlu dilakukan untuk mengetahui punca pokok ini boleh mengeluarkan air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 4:09 PM