JABATAN Imigresen Negeri Selangor mengadakan Operasi sehingga berjaya menahan seramai 108 orang PATI. FOTO Ihsan Imigresen.

Norrasyidah Arshad

norrasyidah@nstp.com.my

JABATAN Imigresen Selangor menahan 108 warga asing dalam satu operasi yang dijalankan di dua lokasi berasingan di daerah ini, malam tadi.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, kesemua mereka ditahan di beberapa premis sekitar Puchong dan Pelabuhan Klang selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

Katanya, semua ditahan berusia antara 22 tahun hingga 55 tahun dan berasal dari Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Myanmar, China, India, Kemboja serta Nepal.

“Daripada jumlah ditahan itu, seramai 52 adalah lelaki dan 56 individu lagi adalah perempuan.

“Di Puchong, Imigresen menyerbu enam pusat hiburan dan memeriksa 142 warga asing namun hanya 54 ditahan membabitkan 51 perempuan dan tiga lelaki.

“Kesemua mereka dipercayai berkerja di premis pusat hiburan itu sebagai pelayan dan GRO.

“Semasa serbuan dilakukan, mereka cuba melarikan diri malah ada juga yang menyorok. Namun semuanya tidak berjaya meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di Pelabuhan Klang, Imigresen menahan 49 lelaki dan lima wanita selepas menyerbu penempatan sewa dan asrama warga asing di rumah kedai sekitar kawasan perindustrian.

Ketika serbuan, semua warga asing itu sedang tidur dan tidak dapat melepaskan diri.

“Kesemua mereka dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor untuk direman selama 14 hari.

“Ketika ini, semua mereka ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tamat tempoh pas serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 4:57 PM