Mohamad (tiga kanan) bersama Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor (empat kanan) pada majlis pengumuman keputusan PRK Cameron Highlands. Foto Farizul Hafiz Awang
Wartawan NSTP


KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands menjadi detik manis kepada parti selepas tewas dalam empat PRK sebelum ini.

Pemangku Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia akan menjadi pembakar semangat untuk menghadapi PRK Semenyih, Februari ini selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu.

“BN akan meneruskan agenda penyatuan ummah yang kita lakukan ini (kerana) ia membuahkan hasil melalui kerjasama dan bantuan dari PAS terutamanya.

“Amat jelas sekali dalam PRK ini dan seperti yang kita jangkakan bahawa pengundi PAS beri kepercayaan kepada BN.

“Ini jelas dibuktikan di peti undi yang dulu dimenangi PAS tapi atas kerjasama dua parti BN dengan UMNO, ia membuahkan hasil kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus pengumuman kemenangan calon BN, Ramli Mohd Noor di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata, Cameron Highlands, malam hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, strategi dan kerjasama amat baik dengan PAS itu akan memastikan supaya agenda penyatuan ummah di negara ini dapat terus dilaksanakan.

“Saya percaya rakyat dah buka mata, rakyat buat satu referendum terjemahkan rasa tak puas hati mereka terhadap prestasi Pakatan Harapan yang banyak tidak tunaikan janji tetapi menghampakan rakyat.

“Kita yakin, kalau kita buat kerja kuat BN masih lagi sebuah parti walaupun ia tidak lagi mentadbir kerajaan (Pusa) tetapi jika diberi peluang kita akan bangunkan agenda kesejahteraan rakyat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 9:26 PM