KEADAAN banjir di beberapa kampung di sekitar Kota Marudu. Foto RECQUEAL RAIMI.
Mohd Izham Unnip Abdullah


MANGSA banjir di Sabah meningkat, pagi hari ini apabila seramai 2,555 orang membabitkan 549 keluarga dipindahkan ke 17 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah berbanding 360 mangsa di dua daerah, petang semalam.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, jumlah mangsa tertinggi yang dipindahkan setakat jam 8 pagi tadi ialah di Kota Marudu seramai 2,470 orang daripada 518 keluarga.

Menurutnya, bakinya masing-masing di Pitas seramai 27 mangsa daripada lapan keluarga, daerah kecil Matunggong (24 mangsa), Kota Belud (14 mangsa) dan Sipitang seramai 12 mangsa.

“Sebanyak 12 PPS dibuka di Kota Marudu setakat ini iaitu Dewan Kampung Longob, Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan, Mosolog, Goshen, Salimandut, Morion, Asin-Asin, Damai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, Dewan Komuniti Kota Marudu, SK Ranau dan St Teresa.

“Bagi daerah Pitas dan daerah kecil Matunggong, tiga pusat pemindahan dibuka setakat ini iaitu di Dewan Terbuka Matunggong, SK Pekan Pitas Dua dan Kampung Kusilad,” katanya.


SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Datuk Seri Hashim Paijan (tengah) mendengar taklimat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud. Foto Ihsan APM

Menurutnya, bagi pemindahan mangsa di Kota Belud dan Sipitang, masing-masing satu PPS dibuka iaitu di Dewan Masyarakat Tun Said dan Dewan Serbaguna Sipitang.

Banjir mula melanda daerah terbabit sejak awal pagi semalam akibat hujan berterusan mulai Jumaat dengan Kota Marudu menjadi daerah pertama melaksanakan pemindahan, jam 8 pagi semalam membabitkan 118 mangsa sebelum meningkat kepada 1,425 mangsa malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 10:48 AM