LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohd Husni Mohd Noor


DUA individu termasuk seorang pengarah syarikat bergelar Datuk yang sebelum ini disiasat berkaitan kes tuntutan palsu RM1.8 juta dibebaskan dari tahanan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Perintah tamat reman dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Muhammad Bukhori membenarkan kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masing-masing sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin.

Kedua-dua lelaki berkenaan direman selama tiga hari bermula Rabu lalu sebelum dilanjutkan tiga hari lagi yang sepatutnya berakhir esok.

Mereka ditahan bersama seorang wanita yang juga ejen insurans bagi membantu siasatan kes sama namun, dibebaskan lebih awal iaitu pada Jumaat lalu.

Sebelum ini, sumber SPRM memberitahu ketiga-tiga mereka disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham.

Sumber turut memberitahu, ketiga-tiga suspek juga disyaki terbabit dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya Selasa lalu ketika hadir memberi keterangan.

Dalam kes berasingan, Muhammad Bukhori turut membenarkan seorang bekas pengurus kanan produk di sebuah syarikat yang disiasat berkaitan kes suapan bernilai RM2 juta dibebaskan daripada tahanan reman, hari ini.

Muhammad Bukhori turut menetapkan lelaki berusia 40 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 beserta dua penjamin selain pasportnya diserah kepada SPRM.

Sebelum ini, lelaki itu ditahan reman selama lima hari sejak Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati suspek menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 11:38 AM