CHANG Khim (tengah) menyerahkan buah limau kepada orang ramai menjelang sambutan Tahun Baru Cina di Pasar Pagi Taman Eng Ann, Klang, hari ini. Foto FAIZ ANUAR
Siraj Mohd Zaini


PEKERJA warga asing di kilang membuat kondom di Pelabuhan Klang yang mendakwa dianiaya majikan seharusnya membuat laporan berkenaan ke Jabatan Buruh untuk tindakan sewajarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Perdagangan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan seperti yang dilaporkan media antarabangsa pada Rabu, minggu lalu.

Katanya, isu membabitkan pekerja warga asing adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya itu berlaku, mereka (pekerja) boleh buat laporan di Pejabat Buruh, kerajaan negeri tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan itu.

“Melainkan sekiranya Pejabat Buruh ada memaklumkan mengenainya kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengedarkan limau di Pasar Pagi Taman Eng Ann, Klang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai keadaan pekerja warga asing di kilang membuat kondom terkemuka dunia itu yang turut beroperasi di Pontian dan Senai, Johor, yang mendakwa ditindas majikannya.

Laporan itu yang menyiarkan temuramahnya dengan pekerja asing dari Nepal antara lain mendakwa mereka dibayar dengan gaji sangat rendah iaitu sebanyak RM1,027 sebulan walaupun bekerja selama lapan jam sehari, enam hari seminggu.

Pekerja terbabit turut mendakwa sebelum itu mereka dijanjikan ejen di negara asal akan mendapat gaji lebih daripada bayaran RM4,378 yang perlu dibayarnya untuk datang ke negara ini.

Selain isu gaji yang sangat rendah, pekerja asing terbabit turut mengeluh mengenai keadaan tempat tinggal mereka yang teruk dan sesak termasuk terdedah kepada haiwan berbisa.

Berita berkaitan

Tak ada laporan kilang kondom tindas pekerja - Amirudin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 1:30 PM