LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


MABUK dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan warga asing yang membawa kepada kematian lelaki warga Nepal di sebuah pangsapuri di Taman Wangsa Permai, Kepong, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, seorang pengawal keselamatan warga Nepal berusia 39 tahun disahkan maut di lokasi kejadian, manakala rakan senegaranya, 30, parah dalam pergaduhan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku akibat pergaduhan di antara mangsa dengan rakan serumahnya.

“Hasil soal siasat dilakukan mendapati pergaduhan antara mangsa dan suspek dipercayai akibat mabuk.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Samsor berkata, reman terhadap 10 lelaki warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit disambung semula selama enam hari.

Katanya, permohonan reman selama tujuh hari terhadap kesemua suspek berkenaan sebelum ini tamat Jumaat lalu.

“Sebelum ini, kami menahan enam lelaki warga Nepal, dan masing-masing dua lelaki warga Bangladesh serta Myanmar berusia antara 21 hingga 36 tahun yang juga rakan serumah mangsa yang direman selama tujuh hari sebelum ini.

“Reman terhadap mereka tamat pada Jumaat lalu dan disambung semula selama enam hari hingga 30 Januari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

From: No’Rule

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 1:31 PM