WAN Norhayati Wan Ali, 34, (kiri) bersama Siti Mariam menunjukkan kad rawatan dan kad kelahiran Noor Atina di Kampung Lembaga, Gua Musang, hari ini. Foto RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


REMAJA orang kurang upaya (OKU) berusia 15 tahun sehingga kini tidak dapat mengikuti sesi persekolahan kerana tidak mempunyai kad pengenalan.

Ibu angkatnya Siti Mariam Awang, 63, berkata dia memelihara Noor Atina Shakira Sabarudin sejak berusia empat bulan selepas ditinggalkan ibunya di hadapan rumahnya.

“Mak cik dah buntu untuk menyelesaikan masalah persekolahan Atina kerana dia tidak ada sijil kelahiran dan kad pengenalan.

“Ibunya hanya meninggalkan kad rawatan ketika mengandung dan kad kelahiran hospital di Ipoh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lembaga, Gua Musang, hari ini.

Siti Mariam berkata, dia cuba merayu supaya Noor Atina yang berpenyakit sindrom down ditempatkan di kelas pendidikan khas OKU di daerah Gua Musang, tetapi gagal kerana tiada dokumen pengenalan diri.

“Tak tahulah mak cik nak buat macam mana lagi selepas gagal merujuk perkara itu ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapat dokumen penting itu,” katanya.

Katanya, ibu bapa Noor Atina tidak dapat dikesan sehingga sekarang selepas meninggalkannya di atas tangga rumahnya, 15 tahun lalu.

“Mak cik menerima Atina walaupun dia seorang OKU tetapi yang membimbangkan selepas mak cik tiada, siapa yang mahu menjaga dia,” katanya.

Justeru, dia merayu mana-mana pihak supaya dapat membantu cucunya itu mendapat kad pengenalan supaya mudah dihantar ke kelas pendidikan khas atau pusat kemahiran OKU.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 1:50 PM