Nurul Amanina Suhaini


TAKTIK licik sekumpulan perompak menggunakan kereta mewah bagi menjalankan kegiatan pecah masuk sekolah ditumpaskan sepasukan polis selepas menyerbu sebuah rumah di FELDA Sungai Mas, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata dalam serbuan 2.30 pagi itu, tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 32 tahun ditahan bersama pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk pecah masuk sekolah dan pelbagai barangan curi bernilai kira-kira RM100,000.

Beliau berkata, kumpulan dikenali sebagai Geng Laptop Yas dipercayai aktif sejak hampir setahun lalu menggunakan kereta mewah curi Mini Cooper dan menyasarkan sekolah di kawasan terpencil sekitar daerah Kota Tinggi.

“Bertindak atas tiga aduan kes pecah sekolah dan curi kenderaan dilaporkan tahun lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menubuhkan satu pasukan khas bersama dengan pasukan dari Balai Polis Bandar Penawar sejak tiga bulan lalu bagi mengenal pasti kumpulan berkenaan.

“Hasil maklumat orang awam, kami menjalankan risikan dan menahan ketiga-tiga suspek dan merampas 23 barang termasuk penukul besi, pemotong besi, topeng, sarung tangan, projektor, komputer riba dan mesin gerudi.

“Hasil soal siasat, kami dapati ketua kumpulan berusia 32 tahun dan memiliki rekod jenayah lampau bersabit lima kes berkaitan narkotik dan jenayah, selain ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala yang lain masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di IPD Kota Tinggi, hari ini.

Ahsmon berkata, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan pihaknya sudah mengenalpasti baki tiga suspek lain yang masih bebas berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Katanya, pihaknya akan memburu mereka yang berkaitan termasuk pembeli kerana barang dicuri adalah hasil bantuan kerajaan di bawah Skim 1Malaysia untuk kegunaan sekolah.

“Berdasarkan maklumat, kami dapati kejadian tidak membabitkan orang dalaman dan kami percaya ia dirancang salah seorang daripada suspek yang ditahan.

“Hasil tangkapan itu polis percaya berjaya menyelesaikan sebanyak 15 kes pada 2017 dan 20 kes sepanjang tahun lalu berkaitan laporan kejadian pecah masuk pejabat di sekolah dan cubaan memecah masuk dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM200,000,” katanya

Beliau berkata, semua suspek ditahan dan barang rampasan di bawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 3:57 PM
AHSMON (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan kes pecah masuk sekolah pada sidang media di IPD Kota Tinggi, Kota Tinggi, hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini.