KHALID (tengah) bersama Presiden PPJ, Datuk Dr Aminuddin Hassim (dua dari kiri) serta orang ramai berjalan ketika Program [email protected] Sisiran Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi


KEJAYAAN Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam, bukanlah suatu kejayaan besar memandangkan kawasan itu kubu kuat parti berkenaan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Abdul Samad berkata, kejayaan itu turut dicapai hasil sokongan diterima oleh pengundi PAS.

“BN cakap mereka mencapai kejayaan besar tetapi bila saya kaji keputusan itu, sebenarnya apa yang BN dapat adalah mempertahankan sokongannya.

“Sokongan itu nampak besar bila ia dicampurkan undi diperoleh pengundi PAS. Jadi, itulah lebih kurang majoriti yang mereka (BN) dapat sekarang.

“Mereka mempertahankan sokongan melalui tindakan mengambil kerusi itu daripada MIC dan meletakkan (calon UMNO) selepas melihat keadaan kedudukan dan sokongan mereka terjejas,” katanya kepada pemberita pada pelancaran [email protected] Sisiran Putrajaya dan Kempen Kibar Bendera sempena Hari Wilayah 2019 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kejayaan BN turut disokong beberapa faktor lain termasuk berjaya memanfaatkan isu bangsa dan agama.

“Jika mereka meletakkan calon MIC di situ, mungkin keputusan berbeza. Saya tidak nampak mengapa ia dilihat sebagai kejayaan besar kerana Cameron Highlands kubu kuat BN dan kita tidak pernah menang di situ.

“Selain itu, BN juga terpaksa mengambil taktik berbeza untuk sekadar mengekalkan sokongan daripada PAS dan UMNO,” katanya.

Menerusi PRK semalam, BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas calonnya, Ramli Md Nor diumum menang dengan majoriti lebih besar.

Ramli memperoleh 3,238 undi majoriti atau 12,038 undi keseluruhan daripada 89 saluran undi sehingga penjumlahan tamat jam 8.30 malam tadi.

Ramli berjaya menewaskan tiga lagi pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran serta dua calon bebas, bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang juga petani tempatan.

Terdahulu, Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan melancarkan program [email protected] Sisiran Putrajaya iaitu anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan usaha sama komuniti di sini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi swasta melalui Program Local Agenda 21.

Ia bertujuan mempromosi dan menambah daya kawasan sisiran Tasik Putrajaya 1 sepanjang tiga kilometer dengan fasa permulaan difokuskan kepada Jejak Sisiran Presint 1 disusuli tujuh lokasi lain iaitu Dataran Putra, Laman Perdana, Persiaran Perdana, Dataran Rakyat Presint 4, Taman Seri Ampangan, Sisiran Tasik Presint 4 dan Ssisiran Tasik Presint 2.

Pada masa sama, Khalid turut melancarkan projek Placemaking Mural [email protected] Steps di pusat beli-belah Alamanda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 4:00 PM