Azlimin menyampaikan sijil penghargaan kepada Che Muda di atas keberaniannya menyelamatkan dua budak perempuan yang hampir lemas September lalu. FOTO Rosli Ilham
Azlimin menyampaikan sijil penghargaan kepada Che Muda di atas keberaniannya menyelamatkan dua budak perempuan yang hampir lemas September lalu. FOTO Rosli Ilham
Zatul Iffah Zolkiply dan Rosli Ilham


TINDAKAN nekad warga emas, Che Muda Che Ahmad, 66, menongkah arus deras di Lagun Gong Batu, Permaisuri, Setiu sehingga menyelamatkan dua nyawa September lalu mendapat pengiktirafan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu.

Keberanian Che Muda yang menggadai nyawa ketika cuba menyelamatkan nyawa empat budak perempuan yang mandi di perairan itu pada 30 September lalu membolehkan dia menerima sijil penghargaan daripada JBPM.

Majlis penyampaian sijil itu disempurnakan sendiri Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian itu, dua mangsa, Ain Najiha Abdul Rani, 12, dan Nur Aishah Syakirah Ishak, 12, selamat, manakala dua lagi lemas iaitu cucunya, Nur Qumaira Qistina Mohd Nizam, 12, dan Nur Hafizatul Nabihah Mohd Jaafar, 12.

Che Muda berkata, dia gembira dengan penghargaan diberikan JBPM walaupun tidak berharap menerima balasan atas apa yang dilakukan.

“Saya berjaya selamatkan kanak-kanak lain, tapi tak sangka cucu saya sendiri lemas dibawa arus.

“Kami sekeluarga masih sedih dengan kehilangan arwah, namun kami reda dengan ketentuan takdir,” katanya.

Ketika diminta menceritakan semula kejadian itu, Che Muda berkata, dia bersama tujuh yang lain sedang mandi di kawasan berkenaan mendengar laungan orang meminta tolong.

Menurutnya, dia nampak dua mangsa terkapai-kapai dan memberanikan diri menongkah arus mendekati mereka.

“Saya sempat capai tangan seorang daripada mereka, namun seorang lagi dibawa arus.

“Mujurlah, ada seorang lelaki berhampiran yang membantu saya sebelum membawanya ke atas dan Alhamdulillah, dia selamat.

“Namun, saya kemudiannya menyedari Nur Qumaira dan seorang lagi rakannya dibawa arus,” katanya.

Terdahulu, Azlimin berterima kasih kepada semua pihak, termasuk orang awam yang terbabit secara langsung ketika menyelamatkan semua mangsa.

“Kita hargai kerjasama semua pihak dalam membantu JBPM dan berharap kerjasama yang terjalin itu tetap utuh.

“Mereka yang pergi, itu takdir Ilahi. Kita sebagai orang Islam kena terima dan reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 9:54 PM