KEADAAN motosikal milik Mohamad Syufie Mohd Sapian selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Sri Timur berhampiran FELDA Kahang Timur di Kluang kira-kira 8 malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Adnan Ibrahim


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta Toyota Avanza di Jalan Kampung Sri Timur dekat Kluang, kira-kira 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, akibat rempuhan itu, Muhamad Syufie Mohd Sapuan, 28, yang menunggang seorang diri dari FELDA Kahang Timur parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, hasil daripada siasatan awal mendapati mangsa tidak sempat mengelak kereta Toyota Avanza yang keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelah kanan dari arah Pekan Kahang.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku di kawasan simpang empat, tiada lampu isyarat, jalan lurus dan keadaan jalan bercahaya tetapi gelap.

“Jenazah mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga awal pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Abduh berkata, pemandu kereta berkenaan, kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diharapkan dapat tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” Katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 12:00 PM