Lim Chee Khoon (kiri) menunjukkan 22 paket plastik mengandungi dadah disyaki heroin yang dirampas. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


ENAM sahabat yang sedang khayal akibat dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Desa Kasih Merbau Berdarah, Sungai Panjang, Sungai Besar, Sabtu lalu.

Serbuan jam 11.30 malam itu membabitkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam diketuai Inspektor Muhamad Norizan Ramli.

Ketika serbuan, semua lelaki berusia 30 hingga 50 tahun berada di bilik belakang rumah itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, polis yang membuat pemeriksaan menemui 22 paket plastik mengandungi dadah dipercayai heroin 18.20 gram bernilai RM500.

Beliau berkata, ujian air kencing terhadap keenam-enam suspek didapati positif morfin.

“Suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya di IPD Sabak Bernam hari ini.

Sementara itu, Chee Khoon berkata, sepanjang Januari tahun ini, 147 individu di daerah itu ditahan membabitkan kes dadah.

“Berdasarkan pecahan jumlah tangkapan, 11 membabitkan Seksyen 39B ADB, empat (Seksyen 39A (2) ADB), lapan (Seksyen 39A (1) ADB), 30 (Seksyen 12(2) ADB) dan 94 (Seksyen 15(1)(a) ADB),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 12:15 PM