Mohd Azam Shah Yaacob


BARU sebulan diserbu, sebuah stor penyimpanan barang tiruan terletak di pusat beli-belah di Jalan Gelugor, Pudu, Kuala Lumpur sekali lagi digempur pihak berkuasa.

Malah, dalam serbuan Op Barang Tiruan kali kedua dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, sebanyak 5,295 unit barangan pelbagai jenis bernilai RM527,700 berjaya dirampas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN), Low Swee Hon berkata, serbuan dijalankan pada jam 12 tengah hari, Khamis lalu membabitkan tujuh anggota yang sebelum itu membuat risikan selama sebulan.

Katanya, dalam operasi itu, sebanyak tiga premis yang dijadikan stor menyimpan barangan tiruan digeledah.

“Operasi dijalankan bersama beberapa wakil pemilik cap dagangan yang mengenal pasti barangan berkenaan adalah tiruan.

“Malah, ketika serbuan dijalankan, anggota penguat kuasa terpaksa memotong kunci ketiga-tiga premis berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KPDHEP Kuala Lumpur hari ini.

Swee Hon berkata, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga premis berkenaan sudah dua tahun beroperasi sebagai tempat menyimpan barang tiruan sebelum ia diedarkan bagi jualan sekitar Lembah Klang.

Katanya, KPDHEP turut merakam percakapan seorang pemilik premis berkenaan yang datang ketika serbuan dijalankan termasuk percakapan seorang wanita yang bersembunyi di dalam sebuah stor.

“Dalam serbuan kali pertama pada 19 Disember tahun lalu, KPDHEP merampas sebanyak 1,400 unit barang tiruan pelbagai jenama dan jenis bernilai kira-kira RM60,000.

“Biarpun pernah diserbu serta dikenakan tindakan, pemilik premis masih tidak serik menjalankan kegiatan penyimpanan bagi tujuan penjualan barang tiruan.

"Malah, hasil siasatan mendapati setiap barangan berkenaan turut dijual pada harga antara RM70 hingga RM350 seunit," katanya.

Swee Hon berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

Katanya, sepanjang tahun lalu, 92 kes barang tiruan dicatatkan membabitkan nilai rampasan mencecah RM2.91 juta.

“Bermula 1 Januari lalu hingga semalam, sebanyak lapan kes dicatatkan membabitkan rampasan barangan sebanyak 5,379 unit.

"Nilai keseluruhan barangan yang dirampas bagi tempoh itu adalah sebanyak RM545,823," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 12:28 PM
Swee Hon (tiga kiri) menunjukkan barang rampasan. FOTO Mahzir Mat Isa