Cik Laily menunjukkan gambar anaknya, Mohammad Amirullah Mohd Amin, 7 yang menghidap leukimia. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Muhamaad Razis Ismail


SEORANG ibu sanggup menangguhkan pembedahan bagi merawat tiroidnya, semata-mata untuk menjaga dua anak yang menghidap leukimia.

Cik Laily Che Musa, 41, lebih rela membiarkan tiroid di leher kanannya membesar demi menjaga keperluan Mohammad Amirullah Mohd Amin, 7, dan Mohammad Nur Firdaus, 15, yang disahkan menghidap penyakit membawa maut itu sejak berusia tiga tahun.

Lebih menyedihkan, dia terpaksa berulang-alik dari rumahnya di Kampung Batu Papan, Gua Musang ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan dua beradik itu.

Katanya, dia menghidap tiroid sejak tiga tahun dan sejak itu sudah dua kali doktor menyarankan dia menjalani pembedahan segera untuk membuang kelenjar itu.

“Jika saya jalani pembedahan, siapa yang nak jaga anak saya. Mereka tidak mahu (dijaga) dengan orang lain.

“Suami pula (Mohd Amin Ali, 47) terpaksa bekerja sebagai penoreh getah sambil menjaga seorang lagi anak Mohammad Adam Ariff, 9, yang juga orang kurang upaya (OKU) di kedua-dua belah kaki.

“Saya tiada pilihan, selain menangguhkan pembedahan itu sehingga keadaan anak benar-benar pulih,” katanya ketika ditemui di HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Cik Laily berkata, kini Mohamad Amirullah perlu dibedah untuk pemasangan ‘chemo port’ bagi membolehkan rawatan kemoterapi, membabitkan kos RM1,300.

“Bagaimanapun, saya kesempitan wang kerana pendapatan suami hanya RM800 sebulan yang turut digunakan untuk menanggung perbelanjaan empat anak yang masih bersekolah.

“Hanya anak yang OKU saja memperoleh bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM150 sebulan.

“Oleh itu, saya mohon bantuan daripada orang ramai untuk membantu meringankan beban kami sekeluarga ,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan di akaun Bank Islam 03063010051756 milik Cik Laily Che Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 2:45 PM