KEADAAN motosikal berkuasa tinggi milik penyelia BNM yang maut dalam kemalangan. (Gambar Kecil) Mohamad Khir Hassan. FOTO Ihsan Keluarga
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PENYELIA Bank Negara Malaysia (BNM) di Kuala Lumpur maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dalam kejadian di Nong Ri, Thailand, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa, Mohamad Khir Hassan, 53, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi BMW RT 1200 maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian badan selepas motosikalnya berlanggar dengan sebuah motosikal lain milik rakyat Thailand.

Sepupu mangsa, Datin Noor Haslina Abdullah, 48, berkata, sepupunya berkonvoi ke negara jiran sejak Sabtu lalu dan dijangka pulang ke negara ini 9 Februari depan.

Katanya, Mohamad Khir menyertai konvoi amal ke masjid bersama lapan motosikal berkuasa tinggi dan sebuah van untuk membantu masyarakat Islam di negara jiran.

“Saya mengetahui kemalangan yang menimpa sepupu jam 10 malam menerusi aplikasi WhatsApp dan terkejut dengan kejadian itu.

“Jenazah arwah sepupu diuruskan oleh rakan konvoi yang akan dibawa pulang dengan van jenazah melalui jalan Bukit Kayu Hitam, Kedah malam ini atau pagi esok.

“Jenazah akan dikebumikan di Kampung Pandan, Ampang, Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi di Kota Bahru, hari ini.

Beliau berkata, arwah meninggalkan seorang isteri, Zakiah Mustaffa, 52, dan dua anak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 3:17 PM