TERTUDUH (dua dari kanan) dibawa ke mahkamah. FOTO Harun Yahya


WANITA didakwa atas tuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di bawah jagaannya di Mahkamah Majistret Sibu, Sibu, hari ini.

Tertuduh, Hayati Yaman, 39, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Faizal Che Saad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh Aariz Harraz Zahin, di sebuah rumah di Permai Jaya, Sibu, antara 5.45 pagi hingga 12.30 tengah hari, 7 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Majistret Sibu kemudian menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan bayi itu meninggal dunia 13 Januari lalu selepas hampir seminggu dalam keadaan kritikal di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sibu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 3:53 PM