GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Shamsul Munir Safini


KEJAM! Itu ungkapan sesuai buat seorang anak lelaki yang tergamak menyepak kaki ibu kandungnya sehingga bengkak kerana khayal syabu di Permatang Kerai, Kepala Batas, pagi semalam.

Dalam kejadian 10 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun berkenaan sebelum itu mengamuk dengan memecahkan kipas angin dan merosakkan barang di dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek kemudian menyepak kaki kanan ibunya berusia 46 tahun sehingga cedera.

“Mangsa berasa takut dan terus keluar dari rumah sebelum membuat laporan polis.

“Suspek yang juga anak tunggal mangsa baru sahaja keluar dari Penjara Pulau Pinang pada Disember lalu dan pernah mendapatkan rawatan psikiatri pada 2016,” katanya.

Beliau berkata, kejadian berlaku di ruang tamu rumah mangsa dan tiada saksi melihat kejadian.

Menurutnya, mangsa meminta polis menahan suspek kerana bertindak di luar kawalan dan bimbangkan keselamatan dirinya.

“Mangsa menerima rawatan di Hospital Kepala Batas dan pemeriksaan doktor mengesahkan pergelangan kaki kanannya bengkak sebelum dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan.

“Suspek yang ditahan tidak lama kemudian didapati positif dadah jenis syabu dan semakan mendapati dia mempunyai lima rekod lampau membabitkan narkotik dan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan suspek direman empat hari bermula hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 4:11 PM